Langkah-langkah termasuk menaikkan premium/sumbangan secara berperingkat, peruntukan khas untuk pemegang polisi/peserta takaful berusia 60 tahun ke atas yang dilindungi oleh pelan yang minima, memberi pilihan untuk mengaktifkan semula polisi/sijil yang telah diserahkan atau luput, perkhidmatan sokongan khusus dan memberi pilihan untuk produk alternatif kepada mereka yang tidak ingin terus dilindungi oleh pelan yang telah melalui penetapan semula harga premium/sumbangan. 

KUALA LUMPUR, 20 Disember 2024 – Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA), dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) telah mengumumkan langkah-langkah interim untuk membantu pemegang polisi/peserta takaful yang terkesan akibat penetapan semula premium/sumbangan baru-baru ini. Langkahlangkah ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan pemegang polisi/peserta takaful agar dapat terus dilindungi oleh insurans/takaful perubatan dan kesihatan.

Pihak industri memahami sensitiviti situasi ini dan tetap komited untuk membantu pemegang polisi/peserta takaful sepanjang tempoh peralihan ini.

Langkah-langkah interim termasuk

1.    Peningkatan berperingkat penetapan semula premium/sumbangan di masa hadapan

Syarikat insuran dan pengendali Takaful akan menjalankan penetapan semula premium/sumbangan yang berpunca daripada inflasi tuntutan perubatan secara berperingkat iaitu sekurangkurangnya selama tiga tahun. Dengan langkah ini, sekurangkurangnya 80% pemegang polisi/peserta takaful dijangka mengalami penetapan semula premium/sumbangan tahunan akibat inflasi tuntutan perubatan menjadi kurang daripada 10%.

2. Peruntukan khas untuk individu berumur 60 tahun ke atas yang dilindungi di bawah pelan minimum

Penangguhan sementara selama satu tahun dalam penetapan semula  premium/sumbangan akibat inflasi tuntutan perubatan untuk individu berumur 60 tahun dan ke atas yang dilindungi di bawah pelan minimum oleh syarikat insurans atau pengendali takaful mereka. Penangguhan sementara ini akan berkuatkuasa selama setahun dari tarikh ulangtahun polisi/sijil. Pemegang polisi/peserta takaful dinasihatkan untuk merujuk kepada syarikat insurans atau pengendali takaful mereka untuk mendapatkan butiran lanjut pelan MHIT mereka.

Kedua-dua langkah interim di atas tidak berkaitan dengan kenaikan premium/sumbangan yang mungkin dikenakan oleh kenaikan umur pemegang polisi/perserta takaful yang telah beralih kepada julat umur yang berbeza. Ini akan diuruskan oleh syarikat insuran/pengendali takaful.

3. Pilihan untuk mengaktifkan semula polisi/sijil bagi polisi/sijil yang telah ditamatkan atau luput pada tahun 2024

Pemegang polisi/peserta takaful yang telah menamatkan atau polisi/sijil mereka telah luput akibat penetapan semula premium/sumbangan  pada tahun 2024 akan layak untuk menguatkuasakan semula polisi/sijil mereka tanpa memerlukan penilaian semula risiko tambahan.

4. Produk Alternatif MHIT

Sebagai pelengkap kepada langkah sementara, syarikat insurans dan pengendali takaful akan menawarkan produk MHIT alternatif yang sesuai dengan premium/sumbangan yang sama atau lebih rendah untuk pemegang polisi/peserta takaful yang tidak ingin meneruskan pelan MHIT sedia ada mereka yang mengalami penetapan semula harga. Syarikat insuran dan pengendali takaful yang tidak mempunyai produk alternatif yang sesuai sekarang hendaklah menawarkan produk ini sedia untuk pemegang polisi/peserta takaful sebelum akhir tahun 2025.

Mengambil kira Kesan dan Kelestarian Masa Depan

Langkah-langkah interim ini akan memberikan sedikit kelegaan kepada pemegang polisi/peserta takaful sementara penetapan semula premium/sumbangan  sistematik dan struktur diusahakan di seluruh ekosistem penjagaan kesihatan. Pendekatan “keseluruhan negara” adalah amat kritikal untuk menangani peningkatan kos rawatan perubatan, dan kami menjangkakan penyertaan yang kukuh daripada semua hospital, doktor, serta sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini termasuk pengurangan kos farmaseutikal melalui penggunaan ubat generik yang lebih tinggi, mengawal penggunaan ujian diagnostik yang berlebihan, ketelusan harga, dan pelaksanaan inisiatif Diagnosis-Related Group (DRG).

Usaha-usaha ini perlu dipercepatkan untuk memastikan kelestarian ekosistem penjagaan kesihatan serta akses yang adil dan saksama kepada penjagaan kesihatan mampu milik untuk semua lapisan masyarakat.

Namun, langkah-langkah interim ini tidak mampan untuk jangka masa panjang kerana ia melibatkan kos yang tinggi kepada syarikat insurans dan pengendali takaful yang terpaksa menanggung beban kewangan tinggi buat masa ini.

Komitmen kepada Pemegang Polisi/Peserta Takaful

Pihak industri memahami cabaran yang mungkin dihadapi oleh pemegang polisi/peserta takaful semasa peralihan ini, dan langkahlangkah interim ini mencerminkan komitmen teguh industri terhadap kesejahteraan kewangan pemegang polisi/peserta takaful. Usaha-usaha ini bertujuan untuk mengimbangkan keperluan segera pemegang polisi/peserta takaful dengan kelestarian jangka panjang perlindungan mereka. Industri juga menekankan tentang kepentingan mengekalkan kesejahteraan kewangan dan manfaat untuk semua pemegang polisi/peserta takaful.

Untuk menyokong usaha ini, semua syarikat insurans dan pengendali takaful telah menyediakan talian khas untuk membantu pemegang polisi/peserta takaful yang terkesan. Pihak industri memohon pemahaman pemegang polisi/peserta takaful agar membolehkan pihak industri menyelaraskan butiran langkah-langkah interim ini. Untuk maklumat khusus mengenai polisi/sijil insurans/takaful, pemegang polisi/peserta takaful boleh menghubungi talian khas atau melawat laman web syarikat insurans atau pengendali takaful untuk bantuan mulai dari 15 Januari 2025.

Menangani Kos Penjagaan Kesihatan yang Meningkat dan Usaha Kerjasama

Antara tahun 2021 hingga 2023, industri insurans dan takaful telah mengalami inflasi kos tuntutan perubatan kumulatif sebanyak 56%, yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Peningkatan ini, yang dipergiatkan oleh cabaran pasca COVID-19, mencerminkan satu trend global yang memberikan tekanan besar kepada syarikat insurans dan pengendali takaful untuk menyesuaikan premium/sumbangan.

Pengenalan produk MHIT dengan ciri pembayaran bersama sebagai pilihan alternatif pada bulan September tahun ini menawarkan penyelesaian jangka panjang untuk membantu pemegang polisi/peserta takaful menguruskan kos perlindungan mereka. Pelan pembayaran bersama bertujuan untuk mengurangkan premium/sumbangan dengan menggalakkan tanggungjawab bersama dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan dan mempromosikan penggunaan perkhidmatan perubatan secara lebih bijak.

Pihak industri bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) untuk membangunkan strategi mampan bagi menangani kesan kewangan daripada peningkatan kos penjagaan kesihatan dan tuntutan perubatan yang meningkat. Ini termasuk penubuhan dana sebanyak RM60 juta oleh Kerajaan, syarikat insurans, pengendali takaful, dan hospital swasta untuk mempercepatkan reformasi kesihatan yang lebih menyeluruh dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia. Sebahagian dari dana tersebut akan digunakan untuk memudahkan membangunan produk asas MHIT yang melindungi penjagaan kesihatan yang perlu dan   membolehkan  pemegang polisi/peserta takaful berumur 60 tahun dan keatas untuk beralih kepada produk asas baru apabila ia diadakan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi penyedia insurans atau takaful anda di

Life Insurance Association of Malaysia

Malaysian Takaful Association

Persatuan Insurans Am Malaysia