Kuala Lumpur, 2 Disember 2024 – Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dengan ikhlasnya merakamkan rasa simpati kepada mereka yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini, terutamanya di negeri-negeri bahagian utara Semenanjung Malaysia. Dengan lebih 139,000 individu dipindahkan, kesan akibat banjir tahun ini adalah lebih teruk daripada yang berlaku pada 20141.
PIAM dan syarikat ahli kami komited untuk memainkan peranan penting dalam usaha menyokong mangsa banjir dengan memberikan bantuan secepat mungkin dengan cara mempercepatkan proses tuntutan.
Untuk mempercepatkan proses tuntutan, kami momohon kerjasama pemegang polisi yang terjejas untuk:
- Semak Polisi Anda: Pastikan sama ada polisi kebakaran atau kenderaan anda ada tambahan perlindungan banjir. Walaupun polisi standard mungkin tidak melindungi kerosakan akibat banjir, ahli-ahli kami ada menawarkan perlindungan banjir pilihan.
- Dokumentasikan Kerosakan: Ambil gambar atau video kerosakan harta benda dan barangan anda yang terlibat.
- Hubungi Syarikat Insurans Anda: Hubungi penanggung insurans anda secepat mungkin untuk melaporkan kerugian dan memulakan proses tuntutan.
- Sediakan Dokumentasi yang Diperlukan: Sediakan semua dokumen yang diperlukan, seperti bukti pemilikan, anggaran pembaikan, dan resit bagi sebarang perbelanjaan kecemasan.
Syarikat ahli PIAM komited untuk memberi sokongan kepada mangsa banjir:
- Pemprosesan Tuntutan yang Lancar: Ahli-ahli kami mengutamakan pemprosesan tuntutan banjir untuk memastikan pembayaran secepat yang mungkin. Sesetengah syarikat insurans telah melaksanakan prosedur pemprosesan tuntutan yang dipercepatkan, dan ada juga yang menyediakan unit tuntutan mudah alih di lapangan untuk memperkemaskan proses tersebut.
- Sokongan pelanggan: Ahli-ahli kami mempunyai pasukan sokongan pelanggan yang dedikasi untuk membantu mangsa banjir dengan tuntutan dan pertanyaan mereka. Untuk pemegang polisi komprehensif kereta, anda juga boleh menggunakan aplikasi bantuan kerosakan tepi jalan digital melalui telefon dan laman web untuk mendapatkan bantuan segera termasuk penundaan.
Lindungi Diri Anda daripada Banjir Masa Hadapan:
Memandangkan banjir merupakan bencana alam semula jadi di Malaysia, dengan kekerapannya semakin meningkat setiap tahun akibat impak perubahan iklim, PIAM menggalakkan individu dan perniagaan untuk mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri dan aset berharga mereka.
Semua syarikat ahli PIAM menawarkan perlindungan lanjutan untuk risiko banjir di bawah polisi kenderaan (komprehensif) dan kebakaran, tertakluk kepada premium tambahan. Jika anda memiliki polisi kenderaan (komprehensif) atau kebakaran sedia ada, anda mempunyai pilihan untuk memasukkan perlindungan banjir untuk melindungi harta benda dan barangan anda, tertakluk kepada premium tambahan dan budi bicara pengunderaitan (underwriting) insurans individu. Sila rujuk ejen atau broker insurans anda untuk runding cara bagi menilai perlindungan semasa anda dan mengenal pasti sebarang kekurangan.
Hubungi Siapa?
Sila hubungi penanggung insurans anda untuk mendapatkan bantuan dan sokongan.
Klik di sini: Butiran Perhubungan Ahli PIAM
Rujukan:
1 Straits Times, 29 November 2024. Floods displace close to 139,000 people in Malaysia with death toll at 4. https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/floods-displace-122000-people-in-malaysia