Senarai Semak Pembaharuan Insurans Motor: 5 Perkara Yang Perlu Anda Semak Sebelum Memperbaharui Polisi
Kebanyakan rakyat Malaysia memperbaharui insurans motor dengan cara yang sama: cari harga premium paling rendah, tekan butang sahkan, dan selesai. Prosesnya hanya mengambil masa beberapa minit dan pada zahirnya kelihatan seperti pilihan yang paling praktikal.
Namun, masalah biasanya hanya timbul apabila berlaku kemalangan yang melibatkan tuntutan kenderaan sama ada sendiri atau dari pihak ketiga yang boleh melibatkan kecederaan, kematian dan kerosakan kenderaan dan harta benda.. Ketika itu barulah anda mungkin menyedari bahawa perlindungan yang dipilih sebenarnya tidak memenuhi keperluan anda. Akibatnya, penjimatan yang diperoleh daripada memilih premium yang lebih murah mungkin akhirnya menyebabkan anda menanggung beban kewangan yang jauh lebih tinggi.
Pembaharuan insurans motor bukan sekadar soal memenuhi keperluan undang-undang, tetapi juga memastikan anda mempunyai perlindungan yang sesuai apabila diperlukan. Sebelum memperbaharui polisi anda, semak lima perkara penting berikut.
Apa Yang Sebenarnya Anda Korbankan Apabila Memilih Pelan Yang Lebih Murah?
Setiap pelan insurans motor ditentukan berdasarkan tahap risiko yang ditanggung oleh syarikat insurans. Premium yang lebih rendah mungkin datang dengan perlindungan yang lebih terhad, lebihan (excess) yang lebih tinggi, atau perlindungan tambahan yang tidak disertakan.
Perkara-perkara ini mungkin tidak jelas apabila anda hanya membandingkan harga premium secara dalam talian. Sebaliknya, ia hanya menjadi ketara apabila anda perlu membuat tuntutan.
Menurut panduan pendidikan pengguna Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), tiada satu pelan insurans motor yang sesuai untuk semua orang. Perlindungan yang terbaik haruslah sesuai dengan keperluan anda bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis kenderaan, profil risiko anda, kawasan tempat tinggal, dan rekod tuntutan anda.
5 Perkara Yang Perlu Disemak Setiap Kali Memperbaharui Insurans Motor
1. Perlindungan Cermin
Keretakan atau kerosakan pada cermin merupakan antara kerosakan yang paling kerap berlaku di jalan raya Malaysia.
Tanpa perlindungan cermin, anda hanya mempunyai dua pilihan:
- membayar kos pembaikan sendiri; atau
- membuat tuntutan di bawah polisi komprehensif utama.
Jika anda membuat tuntutan di bawah polisi utama, Diskaun Tanpa Tuntutan (No Claim Discount atau NCD) anda akan hilang. Dalam jangka panjang, kehilangan NCD selalunya lebih mahal berbanding kos menambah perlindungan cermin hadapan.
Pastikan sama ada perlindungan ini telah disertakan dalam sebut harga pembaharuan anda. Jika belum, pertimbangkan untuk menambahnya.
2. Perlindungan Peril Khas (Special Perils)
Ramai pemilik kenderaan tidak menyedari bahawa polisi komprehensif standard tidak melindungi kerosakan akibat banjir, tanah runtuh atau bencana alam yang lain.
Perlindungan ini perlu ditambah secara berasingan melalui peluasan perlindungan Special Perils.
Jika anda tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir atau selalu meletakkan kenderaan di kawasan rendah, ketiadaan perlindungan ini boleh menyebabkan kerugian kewangan yang besar apabila berlaku bencana.
3. Had Jarak Tunda
Tidak semua polisi menawarkan perkhidmatan tunda tanpa had.
Sesetengah polisi mengehadkan bantuan tunda kepada jarak tertentu, contohnya sehingga 150 kilometer dari lokasi kerosakan.
Jika kenderaan anda rosak dan penundaan ke bengkel adalah melebihi had tersebut, anda perlu menanggung sendiri kos tunda tambahan.
Oleh itu, semak had jarak tunda dalam polisi anda untuk memastikan perlindungan yang diterima bersesuaian dengan jarak pemanduan harian anda (daily travel mileage).
Tip utama: Muat turun aplikasi Bantuan Tepi Jalan Digital (Digital Roadside Assistance) yang ditawarkan oleh syarikat insurans anda. Ia sangat membantu bagi memudahkan proses mendapatkan bantuan secara langsung apabila berlaku kecemasan kenderaan, yang mana perkhidmatan ini sudah tersedia di bawah polisi insurans motor komprehensif anda mengikut terma dan syarat tertentu.
4. Adakah Polisi Anda Masih Sesuai Dengan Cara Anda Menggunakan Kenderaan?
Polisi yang dibeli beberapa tahun lalu mungkin tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.
Sebagai contoh:
- jarak perjalanan harian anda mungkin telah berubah;
- nilai kenderaan semakin berkurangan;
- anda kini meletakkan kenderaan di lokasi yang berbeza atau berisiko tinggi; atau
- corak penggunaan kenderaan juga telah berubah.
Insurans kenderaan seharusnya disemak mengikut perubahan gaya hidup dan penggunaan kenderaan, bukannya diperbaharui secara automatik setiap tahun.
5. Jangan Jadikan Harga Sebagai Satu-satunya Penentu
Jika sesuatu pelan insurans motor jauh lebih murah berbanding pilihan lain, anggaplah ia sebagai petunjuk untuk membuat semakan lanjut.
Harga yang lebih rendah mungkin mencerminkan perlindungan yang lebih terhad atau kadar lebihan (excess) yang lebih tinggi.
Perkara-perkara inilah yang akan memberi kesan apabila anda membuat tuntutan, iaitu ketika sudah terlambat untuk menukar pelan.
Berapakah Kos Kerosakan Akibat Banjir?
Kerosakan akibat banjir boleh melibatkan kos pembaikan yang tinggi dan dalam sesetengah keadaan menyebabkan kenderaan diisytiharkan sebagai rosak keseluruhan (total loss).
Kos pembaikan di Malaysia akibat banjir boleh mencecah antara RM6,000 hingga lebih RM15,000, bergantung kepada jenis dan model kenderaan. Jika enjin dihidupkan selepas kenderaan ditenggelami air, kerosakan biasanya menjadi lebih serius.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon, kadar pengambilan perlindungan banjir meningkat sebanyak 160% pada tahun 2022 selepas banjir besar Disember 2021, iaitu daripada 5% kepada 12% daripada keseluruhan polisi motor dalam tempoh setahun. Menjelang tahun 2023, angka tersebut meningkat kepada 14%.
Walaupun terdapat peningkatan, majoriti pemilik kenderaan di Malaysia masih belum mendapatkan perlindungan Special Perils.
“Memandangkan banjir merupakan kejadian semula jadi yang semakin serius di Malaysia akibat perubahan iklim, kami menggalakkan individu serta perniagaan mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri dan aset mereka,” kata Chua Kim Soon.
Semasa banjir Hat Yai pada Disember 2025, syarikat insurans mengaktifkan bantuan kecemasan dan mempercepatkan proses tuntutan bagi kenderaan rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand. Namun, sebahagian besar kenderaan tersebut tidak mempunyai perlindungan Special Perils.
Kos peluasan perlindungan Special Perils lazimnya kurang daripada 0.5% daripada nilai yang diinsuranskan, iaitu sekitar RM42 sebulan bagi sebuah kenderaan yang diinsuranskan pada nilai RM100,000.
Untuk maklumat lanjut mengenai risiko banjir dan perlindungan kenderaan, sila rujuk artikel PIAM mengenai langkah mengelakkan kerosakan akibat banjir serta persediaan menghadapi musim tengkujuh.
Mengapa Perlindungan Cermin Hadapan Lebih Berbaloi?
Perlindungan cermin hadapan merupakan antara contoh paling jelas mengenai keseimbangan antara harga premium dan perlindungan.
Menambah perlindungan ini hanya memerlukan premium tambahan yang tetap. Sebaliknya, jika anda membuat tuntutan cermin hadapan di bawah polisi komprehensif utama tanpa perlindungan tersebut, anda berisiko kehilangan NCD.
Bagi kenderaan persendirian di Malaysia, NCD meningkat daripada 25% selepas tahun pertama tanpa tuntutan sehingga maksimum 55% selepas lima tahun.
Kehilangan NCD hanya kerana pembaikan cermin hadapan boleh menyebabkan anda membayar premium yang lebih tinggi untuk beberapa tahun akan datang.
Untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai NCD dan cara mengekalkannya, rujuk artikel berkaitan: Cara Memindahkan NCD Apabila Membeli Kereta Baharu di Malaysia.
Semak Polisi Anda Sebelum Pembaharuan Seterusnya
Apabila notis pembaharuan diterima, ramai yang terus memilih premium paling murah tanpa mengambil kira, ia tidak semestinya memberikan perlindungan yang benar-benar diperlukan.
Sebelum memperbaharui polisi anda, semak semula lima perkara penting ini berdasarkan keadaan sebenar anda, di mana anda meletakkan kenderaan, sejauh mana anda memandu, sama ada kawasan anda berisiko banjir, dan sama ada polisi sedia ada masih sesuai dengan nilai serta penggunaan kenderaan anda.
Perbaharui insurans anda dengan memahami perlindungan yang anda peroleh dan premium yang anda bayar.
Soalan Lazim (FAQ)
Adakah polisi komprehensif standard tarif melindungi kerosakan akibat banjir?
Tidak. Polisi komprehensif standard tarif tidak melindungi kerosakan akibat banjir, tanah runtuh atau bencana alam yang lain. Anda perlu menambah peluasan perlindungan Special Perils.
Adakah tuntutan cermin hadapan akan menjejaskan NCD saya?
Bergantung kepada cara tuntutan dibuat. Jika tuntutan dibuat di bawah perlindungan cermin hadapan tambahan, NCD anda tidak akan terjejas. Namun, jika tuntutan dibuat di bawah polisi komprehensif utama tanpa perlindungan tersebut, NCD anda akan terjejas semasa pembaharuan.
Apa yang berlaku jika kenderaan saya rosak melebihi had jarak tunda?
Anda perlu menanggung sendiri kos tunda yang melebihi had yang ditetapkan dalam polisi. Semak had perlindungan anda dan muat turun aplikasi Bantuan Tepi Jalan Digital (Digital Roadside Assistance) yang disediakan oleh syarikat insurans anda. Ia boleh membantu bagi memudahkan proses mendapatkan bantuan secara langsung apabila berlaku kecemasan kenderaan, yang mana kosnya sudah pun dilindungi di bawah polisi insurans motor komprehensif anda.
Bagaimana saya tahu sama ada polisi saya masih sesuai?
Semak semula cara anda menggunakan kenderaan, lokasi tempat letak kereta, risiko banjir di kawasan anda serta nilai semasa kenderaan. Jika mana-mana perkara ini telah berubah sejak pembaharuan terdahulu, perlindungan anda juga wajar dikaji semula.