Lebih 50 peratus kediaman masih tiada insurans bencana alam
KUALA LUMPUR: Lebih separuh kediaman di Malaysia masih tidak dilindungi daripada risiko kebakaran dan bencana alam walaupun kejadian banjir besar semakin kerap, menurut laporan sektor insurans oleh MBSB Research.
Bahagian penyelidikan MBSB Bank itu memetik data Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) yang menunjukkan lebih 50 peratus isi rumah di negara ini tidak mempunyai perlindungan kebakaran dan bencana alam, mencerminkan kadar penembusan insurans yang kekal rendah.
Menurut laporan berkenaan, kadar penembusan perlindungan kebakaran dan bencana alam di Malaysia dianggarkan sekitar 43 peratus bagi 2023 dan 2024, satu tahap yang tidak banyak berubah walaupun risiko berkaitan perubahan iklim semakin ketara.
Keadaan ini menyebabkan sebahagian besar pemilik kediaman terdedah kepada kerugian kewangan sekiranya berlaku bencana, sekali gus meningkatkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan apabila perlindungan insurans tidak tersedia.
PIAM berpandangan peningkatan kadar penembusan perlindungan banjir boleh membantu menguruskan kerugian bencana, dengan perlindungan itu boleh ditambah sebagai pelan tambahan kepada polisi kebakaran sedia ada.
Penganalisis MBSB Research, Samuel Woo berkata antara kelemahan utama ialah ketiadaan produk insurans tertentu oleh sektor swasta, khususnya dalam sektor pertanian.
"Insurans pertanian oleh syarikat insurans swasta hampir tidak wujud di Malaysia, menyebabkan kerugian sektor ini sebahagian besarnya tidak dilindungi," katanya dalam laporan itu.
Menurut MBSB Research, semasa banjir besar pada 2022, nilai kerugian banjir dalam sektor pertanian mencecah RM155 juta, namun hampir keseluruhan kerugian itu tidak diinsuranskan.
Akibat ketiadaan perlindungan swasta yang menyeluruh, kerajaan terpaksa memperuntukkan pampasan yang besar untuk menampung kerugian berkenaan, sekali gus meningkatkan beban fiskal.
Laporan itu turut menyorot banjir besar pada 2021 yang mengakibatkan kerugian keseluruhan RM6.1 bilion, namun hanya RM2 bilion dilindungi melalui pembayaran insurans, manakala selebihnya ditampung menerusi bantuan kerajaan dan sumber lain.
MBSB Research berkata keadaan itu memesongkan pasaran insurans apabila bantuan kerajaan yang meningkat membantu meredakan kerugian, tetapi pada masa sama mengekalkan premium pada paras rendah serta jangkaan awam terhadap sokongan kerajaan.
Dari sudut struktur, Malaysia juga dikenal pasti tidak mempunyai sistem perkongsian risiko bencana yang formal, berbeza dengan negara seperti Jepun dan Perancis yang mempunyai rangka kerja mandatori dengan sokongan kerajaan.
Di Malaysia, perlindungan banjir hanya ditawarkan sebagai tambahan pilihan kepada polisi kebakaran dan kadar pengambilannya kekal rendah, khususnya di kawasan berisiko tinggi.
Ketiadaan sistem formal ini bermakna tiada mekanisme pembayaran yang tersusun apabila ambang kerugian insurans semula dicapai, menyebabkan bantuan kerajaan disalurkan secara ad hoc.
Woo berkata sekiranya kerugian bencana terus meningkat, kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan campur tangan yang lebih besar, termasuk mewajibkan perlindungan banjir atau meningkatkan peranan syarikat insurans am dalam pengurusan risiko bencana.
Selain itu, MBSB Research berpandangan industri mungkin memerlukan pemain insurans yang lebih besar bagi memanfaatkan skala ekonomi untuk mengekang tekanan kos tuntutan dan premium, sekali gus berpotensi mendorong kepada konsolidasi industri, khususnya dalam segmen insurans konvensional.
Menurut laporan itu, selagi kadar penembusan perlindungan bencana kekal rendah dan tiada sistem perkongsian risiko formal diperkenalkan, pengurusan risiko bencana akan terus bergantung kepada gabungan pasaran insurans dan sokongan kerajaan.
Berita Harian Article