20 July 2026|

Membeli kereta baharu di Malaysia sambil mengekalkan kereta lama? Sebelum menerima kunci kenderaan baharu anda, terdapat satu keputusan kewangan penting yang memberi kesan kepada kedua-dua kereta baharu dan kereta lama anda, iaitu pemindahan Diskaun Tanpa Tuntutan (No Claim Discount atau NCD).

NCD Ialah Aset Kewangan Anda: Ketahui Nilainya

Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) merupakan insentif kepada pemandu yang tidak membuat sebarang tuntutan insurans sepanjang tempoh perlindungan. Menurut Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), kadar NCD bagi kereta persendirian adalah seperti berikut:

Tempoh Tanpa Tuntutan NCD bagi Kereta Persendirian
1 tahun 25%
2 tahun 30%
3 tahun 38.33%
4 tahun 45%
5 tahun dan ke atas 55% (maksimum)

Apabila mencapai tahap maksimum, pemegang polisi layak menikmati diskaun sebanyak 55% daripada premium asas. Ini bermakna kos insurans tahunan bagi sesebuah kenderaan boleh menjadi jauh lebih rendah hanya kerana anda memandu tanpa membuat tuntutan.

Lebih penting lagi, diskaun ini boleh dipindahkan kepada kereta baharu anda. Oleh itu, pemindahan NCD merupakan salah satu cara paling praktikal untuk mengurangkan kos insurans bagi kenderaan yang nilai pasarannya lebih tinggi dan menjadi asas nilai yang diinsuranskan. Untuk memahami faktor lain yang mempengaruhi premium insurans kereta anda, rujuk panduan PIAM mengenai lapan faktor yang mempengaruhi premium insurans motor.

Cara Memindahkan NCD ke Kereta Baharu

Apabila anda membeli kenderaan baharu, NCD yang telah sedia ada boleh dipindahkan daripada polisi kereta lama kepada polisi kereta baharu. Ini merupakan salah satu kaedah paling berkesan untuk mengurangkan kos perlindungan bagi kenderaan baharu yang mungkin lebih tinggi nilainya.Walau bagaimanapun, proses ini tidak berlaku secara automatik. Anda perlu memaklumkan syarikat insurans bahawa anda ingin menarik balik NCD daripada polisi insurans kenderaan lama. Setelah proses tersebut selesai, termasuk pembayaran premium tambahan untuk diskaun ke atas kereta lama yang telah diberi terdahulu bagi baki tempoh perlindungan kenderaan lama (sekiranya anda masih memiliki dan terus menginsuranskannya), syarikat insurans akan mengemas kini status NCD anda dalam sistem pangkalan data NCD berpusat.

Selepas itu, NCD boleh dipindahkan dan digunakan untuk polisi insurans kenderaan baharu. Anda juga perlu mengemukakan surat pengesahan penarikan balik NCD semasa membeli polisi baharu bagi memohon penggunaan NCD tersebut.

Jumlah penjimatan premium bergantung kepada nilai diinsuranskan kereta baharu, jenis perlindungan yang dipilih serta syarikat insurans yang menawarkan polisi insurans. Pastikan anda mendapatkan pengesahan jumlah premium secara bertulis sebelum membuat sebarang keputusan.

Apa Yang Berlaku Kepada Kereta Lama Selepas NCD Dipindahkan?

Secara ringkasnya, sebaik sahaja NCD dipindahkan daripada kenderaan lama, kadar NCD bagi polisi insurans kereta tersebut akan kembali kepada 0%.

Sekiranya anda masih memiliki kenderaan tersebut dan ingin meneruskan perlindungan insuransnya, anda perlu membayar premium tambahan yang dikenakan berikutan pemindahan NCD bagi baki tempoh perlindungan polisi insurans kenderaan anda.

Namun, jika anda telah menjual kenderaan tersebut, anda boleh membatalkan polisi insurans dan meminta syarikat insurans memproses pembatalan tersebut sebagai penarikan balik NCD. Syarikat insurans kemudiannya akan mengeluarkan surat atau borang pengesahan penarikan balik NCD yang boleh digunakan untuk memindahkan NCD kepada kenderaan baharu anda. Oleh kerana polisi lama telah dibatalkan, tiada premium tambahan perlu dibayar.

Semak Perlindungan Insurans Tambahan Bagi Kedua-dua Kenderaan

Di dalam proses mengaturkan perlindungan insurans kedua-dua kenderaan, pastikan anda menyemak keperluan untuk perlindungan insurans tambahan. Perlindungan insurans tambahan inilah yang menentukan sama ada polisi anda benar-benar melindungi risiko yang paling mungkin anda hadapi.

  • Perlindungan Insurans Bencana Khas (Special Perils) melindungi kerugian akibat banjir, tanah runtuh dan bencana alam lain yang tidak dilindungi di bawah polisi komprehensif standard tarif. Kos membaiki kenderaan akibat banjir di Malaysia boleh mencecah antara RM6,000 hingga melebihi RM15,000, bergantung pada jenis kenderaan dan tahap kerosakan. Jika kenderaan anda sering dipandu atau diletakkan di kawasan parkir yang berisiko banjir, perlindungan insurans tambahan ini wajar dipertimbangkan. Untuk maklumat lanjut mengenai risiko banjir dan perlindungan insurans kenderaan, rujuk artikel PIAM tentang cara mengelakkan kerosakan banjir pada kenderaan anda.
  • Perlindungan Insurans Cermin membantu menampung kos pembaikan atau penggantian cermin hadapan yang retak, antara kerosakan yang paling kerap berlaku di jalan raya Malaysia. Tanpa perlindungan insurans tambahan ini, anda mungkin perlu menanggung sendiri kos pembaikan atau membuat tuntutan di bawah polisi utama yang boleh menyebabkan NCD anda kembali kepada sifar apabila polisi diperbaharui.
  • Perlindungan Insurans Aksesori melindungi aksesori tambahan atau pengubahsuaian yang dibuat selepas pembelian kenderaan. Secara umumnya, polisi standard tidak melindungi aksesori ini secara automatik, jadi pastikan perlindungan insurans aksesori di tambah jika perlu.
  • Perlindungan Insurans Semasa Kenderaan Dibaiki memastikan kenderaan anda terus dilindungi ketika berada di bengkel untuk proses pembaikan. Tanpa perlindungan insurans tambahan ini, kenderaan anda mungkin tidak mempunyai perlindungan insurans sepanjang tempoh tersebut. Untuk senarai penuh perlindungan insurans tambahan yang tersedia, rujuk panduan PIAM mengenai perlindungan tambahan insurans motor.

Satu Lagi Perlindungan Insurans Tambahan Yang Wajar Dipertimbangkan: NCD Relief

Walaupun anda mempunyai rekod pemanduan yang bersih, ia tidak menjamin anda tidak akan terlibat dalam kemalangan yang bukan berpunca daripada kesalahan sendiri.

Dalam keadaan tertentu, misalnya apabila pihak yang bersalah tidak dapat dikenal pasti dan anda perlu membuat tuntutan daripada syarikat insurans sendiri, NCD anda akan kembali kepada sifar apabila polisi insurans kereta diperbaharui.

Perlindungan insurans NCD Relief membantu menggantikan nilai diskaun yang hilang selepas tuntutan diselesaikan.

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon, berkata ramai pemandu masih tidak mengetahui kewujudan perlindungan insurans ini. “NCD Relief boleh membantu mengurangkan kesan kewangan apabila memperbaharui insurans pada tahun berikutnya,” berkata Mr. Chua Kim Soon

Kos perlindungan insurans ini lazimnya lebih rendah berbanding perlindungan insurans banjir dan wajar dipertimbangkan, terutamanya jika anda sedang membina semula NCD untuk kenderaan baharu.

Untuk memahami bagaimana NCD berfungsi dengan lebih lanjut, rujuk artikel PIAM: Perlindungan Berguna dalam Kemalangan Jalan Raya (A Handy Buffer in Road Mishaps).

Sebelum Anda Memandu Pulang, Pastikan Kedua-dua Polisi Telah Disemak

Sebagai pemilik kereta, setiap kali kenderaan baharu keluar dari bilik pameran, komitmen anda di jalan raya bertambah. Setiap kenderaan memerlukan keputusan perlindungan insurans yang dibuat dengan teliti, bukannya hanya bergantung kepada pilihan standard.

Pastikan pemindahan NCD telah direkodkan dalam dokumen polisi insurans kereta baharu anda. Seterusnya, tentukan sama ada anda ingin mengekalkan perlindungan insurans komprehensif bagi kereta lama, dan nilai semula keperluan insurans tambahan untuk kedua-dua kenderaan berdasarkan risiko sebenar yang dihadapi, termasuk lokasi parkir, siapa yang memandunya dan kekerapan penggunaannya.

Jangan tunggu sehingga nasi menjadi bubur. Jurang perlindungan yang hanya disedari selepas berlakunya kemalangan tidak boleh diperbetulkan secara retroaktif. Semak kedua-dua polisi anda dengan teliti sebelum memandu pulang.

Soalan Lazim

Bolehkah saya memindahkan NCD kepada kereta milik orang lain?

Tidak. NCD adalah milik pemegang polisi yang dinamakan dan hanya boleh dipindahkan kepada kenderaan baharu yang didaftarkan atas nama pemilik yang sama.

Adakah pemindahan NCD akan menyebabkan kadar diskaun saya kembali kepada sifar?

Peratusan NCD kenderaan lama anda akan dipindahkan sepenuhnya ke polisi baharu dan akan kembali kepada sifar. Namun, kadar NCD tersebut akan dibina semula sewaktu pembaharuan polisi mengikut rekod pemanduan tanpa tuntutan sehingga mencapai tahap maksimum NCD.

Adakah tuntutan cermin akan menjejaskan NCD saya?

Tidak, jika tuntutan dibuat di bawah perlindungan insurans khas cermin hadapan. Namun, jika tuntutan dibuat di bawah polisi komprehensif utama tanpa perlindungan insurans cermin, NCD anda akan kembali kepada sifar apabila polisi diperbaharui.