Berikutan kenaikan kos penjagaan kesihatan, langkah sementara telah diperkenalkan pada Disember 2024 untuk memastikan akses berterusan kepada produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) yang mampu milik.

Langkah sementara yang diperkenalkan termasuk perkara berikut:

A. Langkah sementara untuk memastikan akses berterusan kepada produk MHIT yang sesuai

  1. Penanggung insurans akan mengagihkan perubahan premium sepanjang tempoh minimum tiga tahun bagi semua pemegang polisi yang terjejas oleh penetapan harga semula. Langkah ini akan berkuat kuasa sehingga akhir tahun 2026. Dengan langkah ini, sekurang-kurangnya 80% pemegang polisi dijangka mengalami pelarasan premium tahunan disebabkan inflasi tuntutan perubatan kurang daripada 10%.
  2. Bagi pemegang polisi yang berumur 60 tahun ke atas dan dilindungi di bawah pelan minimum dalam produk MHIT yang mereka beli, penanggung insurans akan memberhentikan sementara pelarasan premium disebabkan inflasi tuntutan perubatan selama satu tahun bermula dari ulang tahun polisi mereka.
  3. Langkah sementara di atas tidak terpakai bagi kenaikan premium yang mungkin dikenakan apabila pemegang polisi memasuki kumpulan umur yang lebih tinggi. Perkara ini akan diuruskan secara berasingan oleh penanggung insurans.

Langkah sementara di atas tidak terpakai bagi kenaikan premium yang mungkin dikenakan apabila pemegang polisi beralih kepada kumpulan umur yang lebih tinggi. Perkara ini akan diuruskan secara berasingan oleh pihak penanggung insurans.

  1. Pemegang polisi yang telah menyerahkan atau polisi MHIT mereka telah luput pada tahun 2024 disebabkan penetapan semula harga boleh menghubungi penanggung insurans mereka untuk memohon pengaktifan semula polisi berdasarkan premium yang telah dilaraskan di bawah langkah ini tanpa keperluan penilaian risiko tambahan.
  2. Semua penanggung insurans akan menyediakan produk MHIT alternatif yang sesuai pada kadar premium yang sama atau lebih rendah untuk pemegang polisi yang tidak mahu meneruskan pelan MHIT sedia ada mereka yang telah mengalami penetapan semula harga. Penanggung insurans yang pada masa ini tidak menawarkan produk alternatif yang sesuai mesti menyediakan produk tersebut kepada pemegang polisi selewat-lewatnya pada akhir tahun 2025. Penukaran kepada produk MHIT alternatif tidak memerlukan sebarang penilaian risiko tambahan dan tidak melibatkan sebarang kos penukaran.

Langkah ini, bersama-sama dengan pembaharuan lain untuk mengawal inflasi kos perubatan, akan membantu mengelakkan pelarasan premium yang ketara pada masa hadapan. Komunikasi mengenai langkah-langkah ini oleh penanggung insurans kepada pemegang polisi individu sedang dijalankan secara berperingkat. Pemegang polisi juga boleh menghubungi penanggung insurans masing-masing mulai 15 Januari 2025.

B. Sumbangan bersama untuk mempercepatkan reformasi kesihatan dan membantu pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas

Kerajaan Malaysia, bersama-sama dengan penanggung insurans dan hospital swasta, akan menyumbang sebanyak RM60 juta untuk mempercepatkan usaha reformasi kesihatan. Ini termasuk pelaksanaan model pembayaran Diagnosis-Related Group serta penerbitan kos prosedur perubatan biasa bagi meningkatkan ketelusan. Selain itu, sebahagian daripada dana tersebut juga akan digunakan untuk memudahkan pembangunan produk asas MHIT yang merangkumi keperluan penjagaan kesihatan asas dan membantu pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas untuk beralih kepada produk asas baharu tersebut apabila ia tersedia.

Industri secara kolektif juga telah mencadangkan syor-syor utama yang bertujuan untuk menggalakkan kemampuan, ketelusan dan kelestarian dalam ekosistem penjagaan kesihatan serta insurans dan takaful di Malaysia pada 7 Mac 2025. Antara cadangan utama tersebut adalah:

  1. Pelaksanaan DRG (Diagnostic-Related Grouping) untuk meningkatkan ketelusan dalam caj dan bil perkhidmatan penjagaan kesihatan. Penyelarasan struktur kos antara penyedia perkhidmatan kesihatan, ITO dan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) adalah penting bagi mengurus perbelanjaan penjagaan kesihatan dengan lebih berkesan.
  2. Bekerjasama dengan BNM untuk membangunkan produk insurans dan takaful asas jangka panjang yang mampan, di samping membenarkan ITO menawarkan skim tambahan (top-up) kepada mereka yang mahukan perlindungan tambahan.
  3. Ketelusan yang lebih tinggi melalui penerbitan purata kos bagi prosedur/rawatan biasa di hospital swasta dan kadar inflasi kos perubatan tahunan untuk memperkasakan pengguna dengan kesedaran kewangan yang lebih baik. Penubuhan pangkalan data tuntutan menyeluruh industri akan meningkatkan analisis tuntutan dan membantu mengurangkan penyalahgunaan.
  4. Pelaksanaan Perkongsian Pembayaran (Co-Payment) untuk produk MHIT sebagai penyelesaian jangka panjang utama, yang membantu pemegang polisi/sijil mengurus kos dengan menggalakkan tanggungjawab bersama dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan. Co-Payment, khususnya co-insurance, boleh menggalakkan penggunaan perkhidmatan kesihatan secara lebih berhemah.
  5. Mengawal Kos Farmaseutikal – Bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menggalakkan penggunaan ubat generik dan mengawal harga ubat-ubatan. Laporan menunjukkan bahawa farmaseutikal menyumbang sebahagian besar hasil hospital swasta, mengunjurkan keperluan kawalan kos.
  6. Menggesa hospital swasta menubuhkan unit kawalan kos dan membekukan kenaikan caj semasa tempoh penanggung insurans dan pengendali takaful perlu mengehadkan kenaikan premium. Langkah ini bertujuan memastikan usaha kawalan kos diagihkan secara saksama ke seluruh ekosistem penjagaan kesihatan.
  7. Pengecualian Cukai SST 8% ke atas insurans berkumpulan bagi menggalakkan lebih banyak majikan menyediakan perlindungan insurans dan takaful kepada pekerja. Pada masa ini kira-kira 4 juta pekerja termasuk daripada kumpulan B40 menerima perlindungan melalui skim tempat kerja.
  8. Melantik perunding bebas untuk menjalankan kajian terperinci bagi menganalisis dan mencadangkan tindakan pihak berkepentingan untuk mengurangkan inflasi tuntutan. Kajian menyeluruh ini akan memberikan pandangan berasaskan data dan mencadangkan tindakan berkesan bagi mengawal peningkatan kos tuntutan.
  9. Menggalakkan dan memberi insentif kepada gaya hidup lebih sihat melalui bonus tanpa tuntutan, iaitu sistem ganjaran yang memberi manfaat kepada mereka yang mengekalkan kesihatan yang baik, membantu memupuk kesejahteraan serta meningkatkan penglibatan dan kesetiaan pemegang polisi. Inisiatif ini juga akan mengurangkan tuntutan perubatan yang tidak perlu.

Industri insurans dan takaful amat menyokong pendekatan “whole-of-nation” dalam menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan. Ini merangkumi ketelusan harga yang lebih tinggi, pelaksanaan inisiatif DRG, serta komitmen daripada semua pihak berkepentingan – termasuk penyedia perkhidmatan kesihatan, pengawal selia dan penanggung insurans – untuk melaksanakan langkah-langkah kawalan kos yang mampan.

Sumber